BBC melaporkan, lebih tiga juta penduduk meninggalkan negara ini dalam tempoh beberapa tahun lalu dan menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah itu dijangka terus meningkat melebihi lima juta menjelang akhir tahun ini.

Kebanyakan penduduk Ve­ne­zuela ‘berhijrah’ ke negara-negara Amerika Selatan bagi mencuba nasib untuk mengubah kehidupan dengan lebih sejuta daripadanya memilih untuk me­netap di Colombia.

Setengah juta lagi penduduk Venezuela menuju ke Ecuador, Peru dan beberapa negara lain.

Bagi penduduk yang mempunyai pendidikan dan hubu­ngan baik dengan mana-mana pihak, mereka mudah mendapatkan pekerjaan di negara-negara tersebut, malah ada juga golongan profesional terpaksa menjual air serta makanan di tepi jalan di Peru dan Colombia.

Pakar pendatang di Universiti Simon Bolivar di sini, Claudia Vargas Ribas berkata, penduduk Venezuela meninggalkan negara ini bukan kerana faktor bencana alam dan juga perang, sebaliknya ingin keluar daripada kesempitan hidup.

Tahun ini dilihat bakal memberi lebih banyak cabaran kepada Venezuela termasuk kerajaannya.

Pada 10 Januari ini, Nicolas Maduro akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Vene­zuela sekali lagi selepas memenangi pilihan raya Mei lalu.

Pilihan raya tersebut menyaksikan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memboikotnya dan Maduro menuduh kedua-duanya sebagai imperialis kerana mencetuskan perang ekonomi terhadap Venezuela, selain mengenakan sekatan ke atas ahli politik di bawah pentadbirannya.

Dalam pada itu, Ribas memberi amaran bahawa krisis yang berlaku di negara ini bakal me­­rebak ke kesemua negara Ame­rika Selatan.

“Semua negara dalam rantau tersebut merupakan negara membangun dan kemasukan penduduk Venezuela ke negara-negara berkenaan akan memberi impak kepada hal ehwal dalaman mereka,” jelasnya.

Sementara itu, sebanyak 95 organisasi di bawah selia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Organisasi Pendatang Antarabangsa melancarkan Pelan Tindakan Serantau untuk Pelarian dan Pendatang dari Venezuela.

Pelan tersebut berfungsi membantu mana-mana penduduk negara ini yang ingin berhijrah, selain menyeru komuniti antarabangsa untuk menghulurkan bantuan dana.