Jabatan meteorologi Bangladesh berkata, daerah Cox’s Bazar yang menempatkan hampir satu juta etnik Rohingya menerima hujan sekurang-kurangnya 58.5 sentimeter sejak 2 Julai lalu.

Jurucakap Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) berkata, hujan lebat mengakibatkan tanah runtuh di kem pelarian yang kebanyakannya dibina di lereng bukit memusnahkan hampir 4,889 gubuk pada dua ming­gu pertama Julai.

Lebih 200 tanah runtuh direkodkan sejak April lalu di kem yang dibina berhampiran sempadan Myanmar dan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh selain menjejaskan hampir 50,000 orang pelarian.

Minggu lalu, sekurang-kurangnya dua kanak-kanak maut manakala 6,000 penduduk lain hilang tempat tinggal akibat hujan lebat.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekolah yang menempatkan kira-kira 60,000 orang pelajar terjejas dengan hujan lebat itu ketika lebih 750 pusat pendidikan rosak sebahagiannya manakala lima lagi rosak teruk.

Pelarian berkata, mereka menderita akibat hujan lebat yang menjejaskan logistik dan aktiviti harian di kem itu.

Jurucakap Program Makanan Dunia (WFP), Gemma Snowdon berkata, mereka terpaksa me­ningkatkan bantuan berikutan musim monsun dengan 11,400 orang meminta bantuan makanan tambahan akibat hujan berbanding 7,000 orang semasa Julai 2018. – AFP