Jurnal perubatan The Lancet Gastroenterology & Hepato­logy melaporkan, bagi ibu hamil pembawa virus itu, HBV boleh dipindahkan kepada bayi dalam kandungan dan peratusan tersebut kini adalah pada kadar satu bagi setiap 100 orang.

Jika dibiarkan tanpa rawatan, HBV boleh menyebabkan pe­nyakit hati yang serius termasuk kanser.

Dianggarkan 600,000 orang mati setiap tahun akibat penya­kit hati berkaitan hepatitis B menjadikan HBV ‘pembunuh’ manusia terbesar selain malaria.

Ujian untuk HBV mula dijalankan seawal 1970-an namun hanya satu daripada 10 pesakit di seluruh dunia dikesan dengan penyakit terbabit.

Virus itu mudah berjangkit menerusi darah atau cecair badan yang lain dan kebanyakannya dibawa daripada ibu kepada bayi atau antara anak-anak.

Tiada penawar bagi HBV ketika ini namun ubat antivirus terbukti berjaya mengatasi gejala penyakit berkenaan.

Vaksin HBV hanya boleh didapati seawal 1980-an dan sejak 1992, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan dos pertama diambil dalam tempoh 24 jam kelahiran namun hanya separuh daripada bayi diberikan vaksin dengan cepat.

Pengkaji utama yang juga ahli virologi di Pusat Analisis Penyakit di Denver, Colorado, Homie Razavi berkata, kebanyakan kes pemindahan HBV daripada ibu kepada anak berlaku beberapa hari selepas kelahiran dan pemberian awal dos penawar adalah penting.

“Kesemua kanak-kanak perlu mendapatkan vaksin semasa dilahirkan bukan hanya separuh daripadanya,” katanya.

Daripada 16 negara yang menyumbang lebih 80 peratus jangkitan melibatkan kanak-kanak berusia lima tahun, hanya China meningkatkan pemberian vaksin sehingga 90 peratus.

Bagi menghimpunkan statistik itu, Razavi dan pasukannya menganalisis data daripada 435 kajian dan meneliti kerja lebih daripada 600 pakar kebangsaan.

Mereka membuat kesimpulan bahawa 292 juta individu hidup dengan HBV pada 2016, atau hampir empat peratus daripada populasi global. – AFP