Laporan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan kemanusiaan menunjukkan para petani mengalami kekurangan benih untuk menyemai tanaman di beberapa kawasan dan haiwan ternakan mati kerana tidak mempunyai bekalan makanan mencukupi.

Afghanistan, sebuah negara di mana hampir 20 juta orang bergantung sepenuhnya kepada bidang pertanian, telah mengalami kejatuhan sebanyak 45 peratus dalam pengeluaran pertanian tahun ini akibat kemarau.

Dalam perkembangan terkini, pejabat kemanusiaan PBB melaporkan, kira-kira 120,000 orang melarikan diri selepas kemarau melanda bandar Qala-e-Naw di wilayah Badghis pada minggu pertama bulan ini.

Menerusi laporan kedua dikeluarkan oleh PBB, lebih 100,000 orang berkemungkinan telah berpindah ke bandar Herat kerana sebab yang sama pada bulan lalu.

PBB menjangkakan 2.2 juta orang penduduk Afghanistan akan terjejas akibat kemarau pada tahun ini. - REUTERS