Lebih 190 juta daripada 260 juta penduduk Indonesia akan keluar mengundi bagi memilih Presiden yang baharu selepas mengharungi tempoh berkempen yang lebih tertumpu kepada ideologi berbanding dasar negara.

Pilihan raya Presiden (Pilpres) 2019 menyaksikan pertemuan penyandang yang juga calon Presiden (Capres) nombor satu, Joko Widodo (Jokowi) bergan­dingan dengan Pengerusi Majlis Ulama Indonesia (MUI), Ma’ruf Amin.

Mereka ditentang Capres nombor dua, Prabowo Subianto yang juga calon Pre­siden 2014, dan kali ini bergandingan de­ngan ahli perniagaan, Sandiaga Uno sebagai calon Naib Presiden atau Wakil Presiden (Cawapres).

Lapor al-Jazeera, Jokowi dan Ma’ruf cuba menggambarkan mereka sebagai gandingan Islamik progresif dengan slogan kempen, ‘Indonesia Maju’.

“Saya seorang nasionalis dan beliau (Ma’ruf) merupakan tokoh agama yang taat dan kami melengkapi antara satu sama lain dengan baik,” kata Jokowi.

Prabowo yang pernah terpalit dengan kes perlanggaran hak asasi manusia pernah mencabar Jokowi semasa Pilpres 2014 ketika Sandiaga seorang ahli perniagaan yang pernah menjadi Timbalan Gabenor Jakarta.

Tinjauan pilihan raya terbaharu menyaksikan Jokowi-Ma’ruf mendahului pencabar mereka sebanyak 20 mata dengan sebahagian besar undi datang daripada pengundi atas pagar.

Kebanyakan penganalisis politik meramalkan keputusan yang hampir sama, keadaan serupa pada 2014 apabila Jokowi mengalahkan Prabowo dengan enam mata.

Prabowo dan penyokongnya mendakwa akan mengadakan protes jalanan jika ‘undi dicuri’ daripada mereka ketika ada di antara penyokong terbabit percaya kem Jokowi menipu undi dengan dakwaan wujudnya pendaftaran pemilih rakyat asing­ dan pengundi palsu.

Media sosial turut membantu memarakkan lagi konspirasi terbabit dengan ketegangan melibatkan kumpulan penyokong kedua-dua calon Pre­siden agak tinggi.

Malah di Twitter, penyokong Jokowi dan Prabowo saling ejek mengejek antara satu sama lain dengan perkataan kasar.

“Sekurang-kurangnya dua berita palsu ‘melekat’ dalam kalangan pengikut Prabowo antaranya terdapat banyak rakyat China bekerja di Indonesia dan mereka juga percaya bahawa Jokowi adalah anti-Islam,” kata penyelidik di pertubuhan Human Right Watch, Andreas Harsono.

Bagi penyokong Jokowi, Jeffrey Sidero, mereka menge­tahui rekod prestasi Jokowi namun tidak pasti kemampuan Prabowo yang dianggap tidak konsisten.

Jokowi dan Prabowo pada masa sama turut cuba memenangi hati umat Islam Indonesia sebanyak mungkin apabila ma­sing-masing berjaya ‘menawan’ beberapa tokoh agama terkenal negara ini.

Penyandang Presiden itu mempunyai sokongan kuat pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama ketika Prabowo mempunyai sokongan kuat pemimpin agama, Rizieq Shihab yang kini hidup dalam buangan di Arab Saudi.