Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata, tanah runtuh itu berlaku sekitar petang semalam.

Menurutnya, pasukan penyelamat kini berusaha menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa-mangsa yang tertimbus dalam runtuhan.

“Keadaan hujan lebat dan bekalan elektrik terputus menyukarkan operasi menyelamat dilakukan, terutamanya bagi menggunakan jentera berat.

“Selain itu, keadaan struktur jalan yang sempit turut menyebabkan pasukan kese­lamatan, logistik dan perubatan terperangkap dalam kesesakan trafik,” katanya.

Beliau juga memberitahu, ramai penduduk awam berpusu-pusu ke lokasi kejadian untuk melihat suasana yang berlaku dan keadaan itu dikhuatiri boleh menjejaskan operasi SAR.

Operasi SAR pada tengah malam semalam disambung semula pagi ini.

Setakat ini, empat orang cedera dalam insiden tersebut dan lebih 60 mangsa dipindahkan daripada lokasi kejadian.

Pada Oktober lalu, lebih 20 orang maut apabila banjir kilat dan tanah runtuh melanda beberapa wilayah di Sumatera dan hampir 50 maut ketika bencana yang sama melanda wilayah Banjarnegara pada Jun 2016. – AFP