Pasukan keselamatan bertungkus lumus membawa keluar kira-kira 700 mangsa yang terperangkap dalam premis DusitD2 yang menempatkan hotel dengan kapasiti 101 buah bilik, spa, restoran dan pejabat selepas mengepung kawasan berkenaan selama lebih 12 jam.

Sekurang-kurangnya seorang pengebom bunuh diri meletupkan diri manakala kumpulan bersenjata melepaskan tembakan ke arah orang ramai sebelum masuk ke kompleks tersebut.

Antara mangsa yang terkorban termasuk warga Amerika Syarikat (AS).

Menurut sumber polis, angka kematian dijangka meningkat memandangkan banyak tempat masih belum dapat diakses.

Selain itu, polis percaya beberapa anggota kumpulan militan masih berada dalam kompleks tersebut dan keadaan masih tegang.

Kumpulan militan al-Shaabab mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan terbabit.

Ketua Polis Kenya, Joseph Boinnet memaklumkan bahawa serangan tersebut bermula de­ngan insiden letupan me­nyasarkan tiga buah kenderaan di bahagian tempat letak kereta dan pengebom bunuh diri mele­tupkan bahan letupan di depan kompleks berkenaan.

Keadaan itu mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai menyebabkan mereka lari bertempiaran dan ada yang bersembunyi dalam kompleks tersebut sehingga bantuan ke­selamatan tiba.

Sementara itu, Presiden Ke­nya, Uhuru Kenyatta memaklumkan kesemua anggota militan yang terlibat dalam serangan tersebut ditembak mati pasukan keselamatan. – AFP