Menurut media tempatan, seramai 130,000 penduduk di sekitar Ottawa terputus bekalan elektrik berikutan puting beliung yang berkelajuan 190 kilometer sejam.

Gambar-gambar dalam media sosial menunjukkan atap rumah yang mengalami kerosakan manakala rakaman video menyiarkan serpihan berterbangan dibawa puting beliung itu.

Pegawai Perkhidmatan Kecemasan Ottawa, Anthony Di Monte memberitahu media tempatan, seramai 30 orang cedera, lima daripadanya dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, syarikat elektrik, HydroQuebec melaporkan seramai 130,000 pelanggannya di sini terputus bekalan elektrik sejak petang semalam.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menggesa penduduk agar membantu jiran masing-masing yang memerlukan bantuan.

“Kami sedang memantau keadaan dan mengambil berat terhadap mereka yang terjejas,” katanya menerusi Twitter.

Amaran cuaca berbahaya telah dikeluarkan tengah hari semalam kepada semua penduduk di selatan Quebec dan Ontario.

Walau bagaimanapun pu­ting beliung berkenaan bergerak perlahan setiba di Montreal yang dilanda hujan lebat namun tiada sebarang kerosakan besar berlaku. – AFP