Menurut Kementerian Kesi­ha­tan Palestin, kira-kira 6,000 pen­duduk Palestin ditembak tentera Israel dalam beberapa pertempuran sejak Mac lalu.

Sebuah badan kebajikan perubatan, Medecins Sans Frontieres (MSF) yang menyediakan perkhidmatan perubatan serta rawatan terhadap ribuan penduduk Palestin sejak tunjuk pe­rasaan berlaku melaporkan, sistem penjagaan kesihatan di Gaza menerima pelbagai kes dan sering melibatkan rawatan kritikal.

Ketua MSF bagi Palestin, Marie Elisabeth Ingres berkata, kebanyakan mangsa meng­ala­mi luka terbuka akibat ditembak dengan peluru hidup ter­uta­ma­ny­a di bahagian kaki, sekali gus menyebabkan luka itu mudah dijangkiti kuman.

“Dianggarkan kira-kira 1,000 penduduk Palestin yang mengalami luka terbuka dijangkiti kuman dan keadaan itu boleh menyebabkan mereka lumpuh atau anggota badan dipotong jika tidak mendapat rawatan segera,” katanya.

Sehubungan itu, badan keba­jikan tersebut menggesa Israel supaya membenarkan pendu­duk Palestin yang cedera dibawa keluar daripada sekatan bagi menerima rawatan sewajarnya.

Sekatan dikenakan tentera Israel di Semenanjung Gaza menyukarkan lagi penduduk Palestin yang cedera untuk menerima rawatan lanjut.

Sekurang-kurangnya 235 penduduk Palestin di gaza terbunuh sejak 30 Mac dan kebanyakan­nya maut akibat ditembak tentera Israel ketika pertempuran antara kedua-dua pihak berlaku. – AFP