Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, penutupan itu berikutan cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadikan jalan sepanjang kira-kira satu kilometer itu sebagai `Pedestarian Mall.'

Beliau berkata, DBKL juga akan memindahkan peniaga Bazar Ramadan di kawasan sedia ada ke jalan berkenaan yang dijangka menyediakan antara 200 hingga 250 petak ruang perniagaan, selepas rancangan menjadikan Jalan TAR sebagai `Pedestrian Mall' itu berjalan lancar.

"Langkah ini akan memudahkan aliran trafik dan menggalakkan lebih ramai pekerja di Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam seperti LRT dan Monorel.

"Selain itu, ia juga menyediakan ruang perniagaan yang lebih selesa kepada peniaga Bazar Ramadan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri `Luncheon Talk' sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di Menara Sri Wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Saripuddin Kasim; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ketua Pengarah PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa), Datuk TPr. Rokibah Abdul Latif.

Menurut Khalid, pihak DBKL telahpun mewar-warkan perkara tersebut melalui laman sosial dan majoriti daripada maklum balas yang diterima bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Mengenai Bazar Ramadan, beliau berkata, sebahagian besar peniaga barangan basah akan ditempatkan di bahagian belakang, manakala peniaga barangan kering akan ditempatkan di bahagian hadapan iaitu di Jalan TAR.

"Jadi, kawasan untuk Bazar Ramadan itu akan jadi lebih luas, lebih selesa. Yang lebih penting, kedai-kedai yang di belakang, semua ini kedai Melayu, selama ini terhalang oleh Bazar Ramadan, pintu nak masuk pun susah, bila kita buat ini mungkin masa perayaan lain, penghuni kedai-kedai tidak akan jadi mangsa," katanya.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, sehingga kini pihaknya telah menerima lebih 1,000 maklum balas dengan 57 peratus bersetuju dengan cadangan penutupan Jalan TAR dan pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan peniaga-peniaga sekitar Jalan TAR dan pengusaha bas Rapid. - UTUSAN ONLINE