Persatuan Belia Pulau Manis Serada bersama TAC Outdoor tidak melepaskan peluang ini dengan menjayakan program Ziarah Ramadan Madrasah Khairul Insan Jenagor di Hulu Telemong, di sini semalam.

Mereka bersama dengan kalangan bekas penagih dadah yang berusaha membina penghidupan baharu melalui pengukuhan rohani di penempatan terpencil itu.

Program dijayakan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Terengganu (APM), Kelab Eksplorasi Jerangau Barat (KELEK), Terengganu Backpackers dan MAYC K. Terengganu serta pengamal media Terengganu.

Penyelaras program, Mohd Rafi Kori berkata, program ini dilaksanakan bagi menyemarakkan aktiviti ziarah prihatin kalangan  anak muda sebagai acara tahunan pengisian aktiviti di bulan Ramadan.

"Kami ingin juga mengajak anak muda untuk lebih menghayati jejak ulama dan auliya di  samping mempromosikan Madrasah Khairul Insan sebagai produk pelancongan Islamik dengan keunikannya.

"Apabila berada di sini, kita juga boleh mendekati mereka yang pernah terjebak dengan gejala dadah dan bagaimana penghayatan rohani di madrasah menjadi elemen pemulihan kepada mereka," katanya kepada pemberita.

Tambahnya, selain menyampaikan sumbangan, pengisian program bersama penghuni termasuk berbuka puasa dan berterawih dan menziarah makam Auliya Syarif Muhammad Al Baghdadi yang dikatakan penulis Batu Bersurat Terengganu dan sekitar kawasan madrasah.

"Selepas menunaikan solat fardhu dan terawih, kami dihiburkan oleh persembahan Kumpulan Dendang Anak yang merupakan penghuni madrasah dengan perkongsian cerita dan sejarah melalui zikir serta lagu," ujar Mohd Rafi.

Madrasah ini diasaskan oleh Zulkifli  Ismail pada tahun 1997 melibatkan sebuah pondok menggunakan buluh di kawasan sekitar dan kini penghuni di perkampungan mencecah 200 orang termasuk 10 keluarga. - UTUSAN ONLINE