Guru berkenaan, Abdullah Alif Dahlan, 33, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Adiwira yang awal tahun ini menjadi buruan lensa wartawan selepas memakai kostum Spiderman ketika menyambut kehadiran para pelajar baharu yang memasuki Tahun 1 di sekolah yang sama pada awalnya ingin berhibur dengan murid-murid ketika waktu rehat dengan melakukan silap mata.

Kata beliau, dia ingin melakukan silap mata di mana duit murid berkenaan akan ditukar kepada kertas biasa, namun secara tidak sengaja pelajar yang dipilih tidak memungkinkan dia melakukan perkara itu ekoran dia kurang berkemampuan dan menunggu makanan melalui program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

"Jadi saya tidak berhasrat untuk meneruskan 'prank' tersebut kepada pelajar yang dikenali sebagai Syukur Suardi selepas saya bertanyakan mengenai sama ada beliau sudah makan atau belum.

"Syukur ketika itu menjawab, dia tidak makan kerana tiada duit dan menunggu RMT," katanya yang dihubungi Utusan Online sebentar tadi.

Tetapi kata Abdullah Alif, untuk tidak menghampakan semua pelajar yang ada di situ, dia menukar cara silap mata dengan menukarkan kertas biasa menjadi wang pula yang selepas itu diberikan kepada Syukur.


Video ihsan Magictawau

Pada awalnya, kertas berkenaan ditukar kepada RM1 namun selepas berfkir, dia meneruskan lagi aksi silap mata dengan menukarkan duit berkenaan kepada RM10.

"Jangan risau, wang berkenaan adalah wang sebenar yang hanya saya guna adalah kepakaran silap mata sebagai hiburan sahaja," katanya.

Video berkenaan yang dimuat naik ke laman Magictawau Alif telah dikongsi sehingga menyebabkan netizen memilih untuk menyalurkan sumbangan terus kepada keluarga Syukur.

"Di sini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang menghulurkan sumbangan kepada keluarga Syukur yang kini sedikit sebanyak berjaya meringankan beban ibu dan bapanya untuk memberi duit perbelanjaan kepada murid berkenaan," katanya.

Menurut Abdullah Alif lagi, jika ada yang masih ingin menyalurkan sumbangan, mereka bolehkan menghubungi beliau di 017-8201504 untuk membolehkan beliau memberitahu ke mana sumbangan itu perlu disalurkan.

Menerusi kepakaran yang beliau ada, Abdullah Alif juga menawarkan kepada mana-mana sekolah di Malaysia untuk memberikan khidmat ceramah motivasi secara percuma jika dijemput.

"Apa yang saya lakukan ini mendapat sokongan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sabah yang mengatakan ia satu pendekatan cara baharu  yang membolehkan minat pelajar ditingkatkan.

"Selagi saya tidak melanggar peraturan, saya boleh menggunakan pendekatan (silap mata dan menggunakan kostum adiwira) untuk mengajar para pelajar sekolah di sini," kata beliau yang juga merupakan guru muzik bagi pelajar tahun 1 hingga Tahun 6 dan Bahasa Melayu bagi pelajar Tahun 6.

Orang ramai yang berminat untuk melihat apa yang dilakukan Cikgu Adiwira boleh melayari Facebook Magictawau dan bertanyakan mengenai kursus motivasi yang boleh diadakan. - UTUSAN ONLINE

Salah satu aksi Cikgu Adiwira membuat salji untuk para pelajar sekolahnya