Ibunya, Che Som Mohd. Saud, 55, berkata, Abu Zarin adalah seorang yang berani apabila sentiasa bersama ayahnya, Hussin Yusoff, 65, menangkap ular sejak dia berumur setahun untuk dijadikan ubat.

“Ketika kecil dia hanya mengikut ayahnya sahaja sebelum menyertai bomba 10 tahun lalu dan bersama pasukan menangkap ular. Dia mewarisi kebolehan ayahnya yang dahulunya adalah bekas komando.

“Dia memang seorang yang berani dan niatnya hanya mahu membantu masyarakat yang diancam ular tetapi sudah ajalnya mengikut ketentuan Allah mensabitkan kematiannya dipatuk ular,” katanya.

Jenazah Abu Zarin disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid as-Sa’adah Mukim Permatang Gading sebelum dikebumikan pada pukul 3.15 petang ini.

Che Som berkata, kali terakhir dia bertemu pakar menangkap ular itu ialah pada 21 Januari lalu ketika pulang sehari untuk membawa anak angkatnya, Afifah Fathia Imran berusia tujuh bulan ke klinik bagi mengubati penyakit ekzema.

Katanya, Abu Zarin berkahwin dengan pasangan pilihannya, Aziena Fahana Mohd, 31, sejak lapan tahun lalu dan tidak dikurniakan anak dan memilih untuk membela anak angkat.

“Arwah terlalu sibuk hingga sukar untuk pulang ke kampung tetapi dia setiap hari akan berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dengan ahli keluarga.

“Dia ada memaklumkan kepada keluarga untuk pulang ke kampung dalam masa terdekat dan mengambil cuti yang lama.

“Saya tidak menyangka hasratnya mahu berada lama di kampung sebenarnya petanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga, buat selamanya katanya,” katanya. - UTUSAN ONLINE