Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Sinar baharu Edy dan anak-anak

Edy Rosli Abdul Kadir berusaha sedaya upaya memberi yang terbaik 2
Edy Rosli Abdul Kadir berusaha sedaya upaya memberi yang terbaik untuk dua anak perempuannya.

Kehidupan Edy Rosli Abdul Kadir, sebelum ini sama seperti orang lain, punya pekerjaan tetap dan kediaman untuk berlindung bagi meneruskan kehidupan bersama-sama keluarga.

Namun, selepas kematian isterinya pada 2014, cabaran datang bertimpa-timpa.

Mahu dipanggil Edy sahaja, Dia, yang mempunyai dua orang anak perempuan, terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pemandu lori kerana faktor waktu bertugas yang terlalu lama terutama ketika kerja-kerja penghantaran barang, menyukarkan dia untuk menjaga anak-anak yang masih kecil.

Berhijrah ke Kuala Lumpur dengan harapan dapat membina kehidupan baharu, nasib tidak menyebelahi apabila dia gagal mendapat pekerjaan yang sesuai.

Tidak mempunyai pilihan lain, dia hidup seperti gelandangan berpindah dari satu tempat ke satu tempat kerana tidak mampu menyewa tempat tinggal kerana wang hasil mengutip sampah di ibu kota hanya cukup untuk membeli keperluan makanan.

“Saya pernah tinggal di bawah jambatan gara-gara tidak mampu menyewa tempat tinggal yang lebih selesa. Namun, saya masih mengambil berat keselamatan dua anak perempuan saya, Putri Nabila dan Norsiah dan tidak mahu mendedahkan mereka dengan dunia gelandangan.

“Sepanjang tempoh tersebut saya banyak berpindah-randah kerana gelandangan-gelandangan lain turut sama tinggal di persekitaran saya, tidak elok rasanya anak-anak saya tinggal bersama mereka.

“Disebabkan saya tidak mempunyai tempat tinggal tetap, Baitulmal pernah mencari saya sehingga enam bulan lamanya kerana mahu membantu saya dan anak-anak selepas tular di Facebook kisah tentang kehidupan saya di bawah jambatan.

“Syukur kesulitan saya mendapat perhatian mereka, Baitulmal menyediakan sebuah bilik untuk saya dan anak-anak berlindung dan wang perbelanjaan bulanan sebanyak RM300 sebulan. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa mereka,” katanya ketika ditemui di bilik sewanya yang terletak di Jalan Raja Laut.

Dalam keadaan tersebut, lelaki berusia 50 tahun itu masih memikirkan masa depan anak-anaknya.

Baginya, hanya berbekalkan pendidikan sahaja yang mampu mengubah kehidupan anak-anaknya dengan lebih baik.

Namun, disebabkan anak-anaknya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri (kerana arwah isteri warganegara Indonesia tanpa permit yang sah) menyukarkan Edy untuk menyekolahkan anak-anaknya.

Dia mengaku salah dirinya tidak pernah memikirkan soal tersebut sebelum ini, namun semuanya masih belum terlambat.

Dia kini dalam proses untuk membuat kembali dokumen pengenalan anak-anaknya yang masing-masing berusia 9 dan 10 tahun, walaupun tahu prosesnya mengambil masa yang lama.

Dipertemukan dengan seorang aktivis daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Edy disyorkan untuk menghantar dahulu anak-anaknya ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Chow Kit tanpa memerlukan sokongan dokumen pengenalan diri.

“Walau susah macam mana pun kehidupan saya dan anak-anak, saya tetap mahu pastikan mereka mendapat pendidikan.

“Biarlah mereka bersekolah dahulu di sekolah tersebut, sekurang-kurangnya ada guru yang boleh tengokkan mereka sementara saya keluar bekerja.

“Selain mengutip sampah, saya juga bekerja mengangkat sayur-sayuran di pasar Chow Kit. Selagi ada kudrat, saya akan bekerja. Tidak kisah apa-apa kerja asalkan dari sumber yang halal dan saya juga boleh menguruskan anak-anak tanpa meninggalkan mereka,” katanya.

Ujarnya, ramai yang prihatin dengan nasib dia dan anak-anaknya, namun sebagai bapa dia berusaha mengajar anak-anak untuk tidak meminta-minta kerana dia masih mampu menyara kehidupan mereka meskipun tidak semewah orang lain.

Asalkan cukup makan dan mempunyai tempat tinggal, itu sudah cukup buat mereka anak-beranak mensyukuri nikmat yang diberi.

Tidak mudah bagi seorang lelaki menguruskan anak-anak seorang diri apatah lagi mereka adalah anak-anak perempuan yang semakin meningkat usia remaja.

Semoga keluarga Edy tabah menjalani kehidupan seharian dan ada yang sudi menghulurkan bantuan dari segi sumbangan wang ringgit dan kediaman lebih selesa.

Bantuan boleh dihulurkan ke akaun

  • Bank Simpanan Nasional 0111529000046530 
Edy Rosli Abdul Kadir

 

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain