Diadakan di padang sekolah itu, seramai 1296 murid termasuk murid Prasekolah kelihatan bersemangat dan ceria mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan dan acara sukan yang dipertandingkan.

Malah, kehadiran ibu bapa dan guru guru di sekolah tersebut turut memeriahkan lagi suasana kejohanan disamping memberi galakan dan sokongan kepada anak-anak yang mengikuti pertandingan.

Guru Besar SK Datu’ Hashim, Rohani Rajab berkata, acara sukan seumpama itu diadakan setiap tahun bertujuan melahirkan murid yang berkebolehan holistik.

"Kita mahu melahirkan murid yang bukan sahaja hebat dalam akademik tetapi juga aktif dalam kokurikulum dan kejohanan sukan seperti hari ini.

 "Dengan kejohanan ini juga dapat mencungkil bakat murid dalam acara sukan. Apabila kita berjaya mencungkil bakat murid, pihak sekolah akan sokong mereka dan asah bakat mereka supaya dapat diketengahkan sejak usia muda lagi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Antara acara yang dipertandingkan dalam kejohanan sukan tahunan itu ialah pertandingan lompat peluru; lompat jauh; acara larian 50 meter; acara larian 200 meter; boling padang dan tarik tali.

Selain itu ,turut diadakan ialah hiasan khemah rumah sukan dan pertandingan perbarisan antara rumah sukan. - UTUSAN ONLINE