Lengkap mengenakan uniform bomba, Muhammad Faisul kelihatan bersemangat beraksi sebagai anggota bomba sedang memadam kebakaran bersama beberapa lagi anggota bomba yang lain.

“Ini adalah saat paling gembira dalam hidup saya kerana dapat menjadi ahli bomba. Walaupun sakit, saya tidak mahu melepaskan peluang yang diberikan oleh pihak hospital dan Balai Bomba Lintas,” katanya ketika ditemui pemberita pada program menunaikan impian anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Children’s Wish Society of Malaysia (CWS), di sini hari ini.

Dengan bantuan pihak hospital, Balai Bomba dan Penyelamat Lintas serta CWS, Muhammad Faisul dibawa menaiki jentera bomba untuk `memadam kebakaran’ di sekitar kawasan Kingfisher.

Menurut bapanya, Yakub Basuni, 53, anaknya itu berminat dengan kerjaya bomba sejak kecil lagi dan sering menyatakan impian itu kepadanya.

“Kami sekeluarga gembira kerana Muhammad Faisul akhirnya menjadi anggota bomba. Demi menunaikan keinginannya untuk menjadi ahli bomba, dia sanggup menahan kesakitan, itu saya tahu.

“Yang penting, anak saya itu gembira dan dapat mengenang peristiwa hari ini sebagai saat paling bahagia dalam hidupnya,” katanya yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Menurut Yakub, anaknya dikesan menghidap leukemia tahap pertama pada seawal usia enam tahun setelah mengalami bengkak leher dan kembung perut.

Jelas beliau lagi, mereka sekeluarga tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan rawatan buat Muhammad Faisul agar kesihatan kanak-kanak itu kembali pulih.

Katanya, ini termasuk menjalani pelbagai kaedah rawatan seperti kimoterapi dan pembedahan sum sum tulang. - UTUSAN ONLINE