Malangnya, banyak kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kematian hidupan liar ini dibiarkan sepi dan tidak dilaporkan kepada pihak berwajib sedangkan ia melibatkan banyak haiwan daripada spesies terancam seperti tapir, beruang matahari, gajah, kambing gurun dan harimau.

Sehubungan itu, menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Wan junaidi Tuanku Jaafar, kementeriannya mahu supaya orang ramai lebih prihatin dengan isu tersebut dan menghentikan perbuatan yang hanya memusnahkan khazanah alam itu.

Ini kerana katanya, hidupan liar juga mempunyai hak yang sama dengan manusia untuk hidup dengan aman dan damai di negara ini.

Apa yang menyedihkan menurut Wan Junaidi sikap pemandu itu sendiri yang sambil lewa dan tidak peka dengan papan tanda amaran hidupan liar yang telah diletakkan di sepanjang jalan dan sengaja memecut laju kenderaan ketika melalui kawasan tersebut walaupun sudah mengetahui risiko yang bakal dihadapi.

“Kemalangan jalan raya mengakibatkan kematian hidupan liar terjadi apabila mereka mencuba untuk melintas jalan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mencari makanan, teman mahupun habitat yang lebih sesuai demi kelangsungan hidup.

“Adakalanya nyawa manusia sendiri dan kerosakan harta benda dapat dielakkan sekiranya semua orang lebih berhati-hati di jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan.

TAPIR PALING 
BANYAK TERBUNUH

Dalam pada itu, rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), menunjukkan antara spesies terancam yang sering terlibat dengan kemalangan jalan raya ialah tapir iaitu sebanyak 43 ekor dilaporkan mati dalam kemalangan jalan raya dalam tempoh lima tahun lalu iaitu 
dari tahun 2012 hingga 2016.

“Antara puncanya adalah kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh aktiviti pembinaan jalan raya di kawasan hutan yang merupakan habitat semula jadi tapir.

“Ini menyebabkan spesis berkenaan kekurangan makanan, perlindungan, teman dan juga kawasan perayauan sehingga menyebabkan mereka berisiko dilanggar kenderaan ketika melintasi jalan kerana tidak mengetahui itu merupakan tempat yang bahaya,” ujarnya lagi.

Selain itu, tapir juga merupakan haiwan yang aktif dan sering bergerak menjelang waktu malam, bermula dari lewat petang hingga awal 
pagi.

Kebanyakan tapir yang terbunuh di jalanan adalah dalam tempoh waktu tersebut.

Tidak dinafikan, ia juga didorong oleh faktor fizikal semula jadi tapir itu sendiri 
yang berwarna hitam putih sehingga menyukarkan pandangan pemandu untuk melihat mereka dengan jelas terutama ketika cuaca gelap dan berkabus.

Namun, lebih mengecewakan apabila ia berpunca daripada sikap cuai pemandu yang memandu laju di kawasan tersebut walaupun telah melihat papan tanda amaran hidupan liar yang diletakkan di bahu jalan.

Pagar penghadang jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik atau dimusnahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab juga memudahkan tapir memboloskan diri dari hutan untuk melintasi jalan raya.

Dalam pada itu, pembangunan pesat di kawasan-kawasan hutan akibat peningkatan populasi dan juga perkembangan ekonomi menjadi faktor tapir keluar dari hutan kerana habitat semula jadi mereka diganggu.

Oleh itu, pemandu dinasihatkan untuk sentiasa lebih berwaspada dan bertanggungjawab semasa memandu, peka dengan 
papan tanda amaran hidupan liar melintas serta memperlahan kenderaan pada waktu-waktu tertentu seperti ketika cuaca hujan, berkabus atau jerebu.

Selain itu, jika berlaku sebarang kemalangan melibatkan hidupan liar, pemandu dinasihatkan agar tidak mengambil mana-mana bahagian haiwan yang telah mati tanpa lesen atau permit kerana itu salah di sisi undang-undang, sebaliknya terus melaporkan kejadian itu kepada Perhilitan bagi pengurusan bangkai haiwan tersebut.

Perhilitan sentiasa mengharapkan kerjasama semua pihak untuk melaporkan sebarang kemalangan jalan raya melibatkan hidupan di sepanjang lebuh raya di Semenanjung Malaysia dengan menghubungi talian 1-800-88-5151 pada setiap Isnin hingga Khamis) atau melalui portal e-aduan www.wildlife.gov.my bagi tujuan pengurusan bangkai dan kutipan data. Perhilitan merupakan salah sebuah agensi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.