Pengurus Kanan Bahagian Hospitaliti hotel itu, Shah Azam Khan berkata, majlis berkenaan merupakan antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya bagi membantu meringankan beban sekali gus menceriakan golongan yang memerlukan.

“Dalam majlis ini, anak-anak yatim bukan sahaja diberi peluang berbuka puasa bersama kakitangan hotel, malah mereka juga menerima sumbangan baju raya bernilai RM150 serta duit raya sebanyak RM50 setiap seorang.

“Majlis tahunan Ancasa Hotel & Resorts ini juga merupakan wadah terbaik untuk menzahirkan program kemasyarakatan kami kepada golongan kurang berkemampuan.

“Kami berharap sumbangan ikhlas yang diberikan ini akan membawa keceriaan kepada anak-anak yatim dan golongan kurang bernasib baik menjelang Hari Raya Aidilfitri kelak,” katanya.

Dalam majlis yang sama pagi tadi, kakitangan Ancasa Hotel & Resorts menyediakan lima periuk bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang awam berhadapan hotel tersebut termasuk pejalan kaki serta pemandu yang melalui Jalan Tun Tan Cheng Lock.

Program tersebut turut disertai Pengarah Urusan Kumpulan UDA Holdings Berhad (UDA Holdings), Datuk Ahmad Abu Bakar serta Pengurusan Kanan Ancasa Hotel. - UTUSAN ONLINE