Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd. Akin, objektif utama penganjuran program tersebut adalah bertujuan merapatkan hubungan antara rakyat dengan MBMB selaku pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita ada kerjasama yang cukup rapat dan paling penting adalah dua perkara iaitu menyampaikan mesej perubahan dengan kerajaan baharu ketika ini di samping meraikan mereka yang memerlukan bantuan seperti fakir miskin.

"Alhamdulillah hari ini kita mendapat bantuan daripada pihak Majlis Agama Islam Malaysia (MAIM) dan terdapat 50 penerima sumbangan yang sebahagiannya sahaja tidak dapat hadir. Ini adalah saru permulaan yang baik kerana hubungan baik antara rakyat dengan MBMB perlu berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Komuniti Parlimen Hang Tuah Jaya di Dataran Bandaraya MBMB, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Hussin bersama para penduduk yang menetap dalam kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya.

Sementara itu, Shamsul Iskandar memberitahu, program seumpama ini akan diadakan dengan lebih kerap bagi mendekatkan rakyat dengan PBT yang bertindak sebagai kerajaan ketiga dalam negara. - UTUSAN ONLINE