Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Polis Diraja Malaysia ( PDRM), Datuk Huzir Mohamed berkata, keterangan Zakir akan diambil semua kerana pendakwah itu memohon proses itu ditangguhkan, semalam.

“Rakaman percakapan yang diambil bermula pukul 3.30 petang sehingga 7 petang di Ibu pejabat Polis Bukit Aman akan disambung 19 Ogos ini kerana Zakir memohon penangguhan untuk berbuka puasa.

“Ini berhubung ceramah yang disampaikan pendakwah itu yang mendakwa kaum India di Malaysia tidak menyokong Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) negara ini sebaliknya Perdana Menteri India, Narendra Modi serta kenyataan beliau yang meminta kaum Cina keluar dari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Huzir, pihaknya akan mengambil kenyataan ahli perniagaan, Koon Yew Yin pada Isnin ini di Ipoh, Perak.

Katanya, ini bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dikeluarkan Yew Yin yang didakwa menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kenyataan Pengerusi Persatuan Dong Zong, Tan Tai Kim pula akan diambil dalam masa terdekat berhubung dakwaan persatuan tersebut yang mengatakan langkah kerajaan memperkenalkan tulisan jawi di sekolah disifatkan sebagai islamisasi,” katanya.- UTUSAN ONLINE