Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, setakat ini polis masih menjalankan siasatan untuk menentukan siapa pemilik akaun Facebook berkenaan.

"Besar kemungkinan guna akaun palsu, kalau tidak kita sudah dapat tangkap siapa pelakunya.

"Siasatan masih dijalankan, isu yang melibatkan alam maya akan mengambil masa untuk disiasat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis perbarisan tamat latihan dan penyampaian sijil pelantikan pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor Suksis) di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail.

Pelbagai pihak sebelum ini mendesak tindakan tegas diambil terhadap pemilik akaun Facebook Wendy Loong yang bersikap biadab dan cuba mencetuskan suasana tidak harmoni di negara ini.

Setakat ini, lebih 400 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW yang dibuat oleh pemilik akaun Wendy Loong di laman Facebook Kiub Batu Itu Berhala itu.

Menurut Mazlan, polis juga masih belum dapat mengenal pasti dari negeri mana kenyataan berbaur penghinaan itu dimuat naik.

"Kita masih belum dapat tahu (dari negeri mana), kita akan siasat," katanya.- UTUSAN ONLINE