Dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 petang itu, suspek berusia 45 tahun didapati menjual kad berkenaan dengan harga RM30 kepada rakan senegaranya sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ketika pemeriksaan dilakukan di rumah tersebut, pihaknya menjumpai sebanyak lima kad UNHCR atas pelbagai nama disyaki palsu.

"Selain itu, kita turut menjumpai empat keping i-kad, tiga keping pasport Myanmar dan lima keping kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang disyaki palsu," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, di lokasi berkenaan juga polis menjumpai peralatan untuk mencetak kad UNHCR palsu itu.

"Kesemua barang rampasan dan suspek telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah untuk siasatan lanjut dan suspek direman di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002)," katanya. - UTUSAN ONLINE