Dalam operasi kira-kira pukul 9 malam itu, dua lelaki warga Myanmar etnik Rohingya berusia 27 dan 50 tahun turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, dalam serbuan di rumah yang disewa salah seorang suspek itu, pihaknya merampas sebanyak 42 keping kad UNHCR atas pelbagai nama yang disyaki palsu.

Turut dirampas, kata beliau, sebanyak 25 keping kad UNHCR yang masih belum tercetak sepenuhnya yang mana kad itu akan dijual kepada etnik Rohingya yang tidak mempunyai dokumem pengenalan diri pada harga antara RM50 hingga RM300.

“Selain itu, kita turut merampas komputer riba, pencetak, telefon bimbit serta masing-masing dua keping lesen memandu dan kad perakuan nikah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan, suspek dipercayai menjalankan urusan membuat dan menjual kad UNHCR yang disyaki palsu dengan niat menipu itu sejak sebulan lalu.

 

Sehubungan itu, katanya, polis akan membuat semakan pengesahan ketulenan kad UNHCR yang dirampas tersebut dengan Pejabat UNHCR di Kuala Lumpur selain menghantar barang kes kepada pihak forensik untuk dianalisis.

Tambah beliau, kedua-dua suspek ditahan selama dua minggu bermula semalam di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

 

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. - UTUSAN ONLINE