Dalam serbuan pukul 7.15 petang itu warga emas berusia 72 tahun itu ditahan bersama 40 kotak mercun dan bunga api serta lima guni mercun bola di Kampung Kedai Lama, Rantau Panjang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas Superitanden Ismail Jusoh berkata, rampasan mercun itu membabitkan nilai berjumlah RM30,000 mengikut harga pasaran.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan oleh anggota PGA Batalion 7, suspek sedang memunggah barangan itu ke dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Land Cruiser.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan itu dan sekitar kawasan rumah membawa kepada penemuan mercun-mercun terbabit.

“Kejayaan itu hasil ketangkasan Unit Risikan Sempadan PGA Batalion 7 yang diketuai oleh Inspektor Ahmad Amiridzwan Mohd Nawawi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pemerintah Medan PGA Batalion 7 Kuantan, Deputi Superitanden Abd Aziz Che Embun.

Ismail memberitahu, mercun itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran sempena Tahun Baharu Cina.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. - UTUSAN ONLINE