Tertuduh Md. Saidul Islam, 21, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mabel S. Muttiah.

Berdasarkan pertuduhan, pembantu kedai telefon bimbit tersebut telah mendatangkan kecederaan parah ke atas Nur Zawati Zainal Abidin, 24, di bahagian muka dengan menggunakan senjata pisau.

Kesalahan tersebut dilakukan di hadapan lift tingkat bawah Tropicana City Mall, di sini pada pukul 6.30 petang, 7 Februari lalu.

Pertuduhan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda dan sebatan.

Dalam kejadian tersebut, mangsa yang juga rakan sekerjanya mengalami luka hampir lima sentimeter bermula daripada bibir hingga ke pipi kanan selepas mukanya ditoreh lelaki itu menggunakan pisau. - UTUSAN ONLINE