Wanita berusia 22 tahun yang melarikan diri menerusi tingkap itu mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Taiping.

Rakan senegaranya yang berusia 26 tahun pula patah tangan kiri dan menerima rawatan di hospital sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, kedua-dua mangsa terjatuh ketika cuba mengelak daripada diberkas polis dalam Op Noda yang dijalankan pada pukul 9 malam.

Katanya, dalam serbuan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen Perak itu, pihaknya turut menahan dua wanita warga Thailand berusia 23 dan 25 tahun. 

"Tindakan dua wanita itu disedari ketika anggota mengetuk pintu bilik untuk pemeriksaan sebelum terdengar bunyi bising dari bahagian dalam di mana mereka dipercayai cuba keluar melalui tingkap.

"Anggota kemudiannya turun ke lobi untuk membuat tangkapan namun mendapati dua wanita terbaring dengan salah seorangnya berlumuran darah di bahagian kepala," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan kecemasan namun seorang daripadanya maut akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, pemeriksaan di premis tersebut mendapati empat buah bilik telah didaftarkan atas nama seorang lelaki yang dipercayai bapa ayam.

"Dalam serbuan itu, tiga telefon bimbit, enam kondom dan wang tunai RM530 dipercayai hasil kegiatan itu telah dirampas.

"Ketiga-tiga wanita itu ditahan untuk siasatan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 372B Kanun Keseksaan," katanya.-UTUSAN ONLINE