Maqis negeri berkata, rampasan daripada wanita berusia 58 tahun itu melibatkan beberapa jenis daging sejuk beku dan keju yang kesemuanya bernilai RM665.

Tambahnya, mkluman yang diterima mendapati wanita itu membawa masuk daging babi walaupun larangan membawa masuk telah dikeluarkan oleh kerajaan kerana penyebaran penyakit African Swine Fever (ASF).

“Penumpang itu didapati membawa kaskas dipercayai daging kambing sebanyak sembilan kilogram (kg), daging lembu (4.22kg) dan daging babi (2kg) sejuk beku selain keju (4kg),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu menambah, tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging berkenaan menerusi laluan udara adalah bagi menghalang risiko kemasukan penyakit ASF ke negara ini dan merosakkan industri penternakan negara.

Katanya, antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi segar, daging babi sejuk beku serta daging babi proses seperti babi salai dan sosej.

“Perbuatan mengimport tanpa permit yang sah dari Maqis adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya. - UTUSAN ONLINE