Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, kejadian berlaku di hadapan pintu masuk sebuah premis perniagaan di sini.

“Semasa kejadian, mangsa dikatakan baru melangkah masuk ke dalam pasar raya tersebut untuk membeli-belah. Namun tiba-tiba dua suspek berusia 20-an meragut rantai di lehernya sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Dzaffir memberitahu, ekoran kejadian berkenaan mangsa mengalami kecederaan ringan di leher di bahagian kanan.

“Kerana kejadian berlaku terlalu pantas mangsa gagal mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal suspek,” ujarnya.

Tambah Ahmad Dzaffir, usaha menjejak kedua-dua suspek sedang giat dilakukan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Ibu pejabat Polis Daerah Kajang atau Inspektor Nor Fazilatul Aida Mohd. Mustapa di talian 012-2667402.

“Kes disiasat di bawah seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana kesalahan rompak berkumpulan tanpa senjata,” katanya. – UTUSAN ONLINE