Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa seorang wanita berumur 48 tahun sedang berjalan melintas jalan sebelum dihampiri dua lelaki yang berpakaian gelap menaiki motosikal.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, secara tiba-tiba pembonceng motosikal itu bertindak menyimbah cecair dipercayai asid pada bahagian muka mangsa.

Tambahnya, mangsa yang kesakitan kemudiannya berlari memasuki semula bank sebelum menjerit meminta tolong dan menghubungi rakannya.

"Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan terbakar pada bahagian muka, tangan dan paha.

"Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengecam wajah suspek kerana kejadian berlaku terlalu pantas dan dia juga mendakwa tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pihak atau mempunyai musuh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani, mangsa mendakwa kedua-dua suspek itu berbadan sederhana dan memakai baju T berwarna gelap serta seluar panjang dan ketika kejadian mangsa berseorangan selain tiada saksi yang melihat kejadian.

Bagaimanapun, tambahnya, terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan pihaknya kini sedang meneliti rakaman tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE