Bagaimanapun, penderitaan dan kesakitan warga emas berusia 64 tahun itu berakhir petang semalam selepas dia diselamatkan seorang jiran dari rumah­nya di Flat Desa Wawasan di sini.

Malah, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu juga, polis terpaksa memecah pagar besi rumah wanita ber­kenaan selepas dia ditinggalkan bersendirian di rumah tersebut sebelum dibawa untuk menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini.

Usaha menyelamatkan wanita berkenaan turut mendedahkan kedaifan hidup keluarga berkenaan yang mana dua anaknya itu mempunyai sejarah sakit mental manakala menantu pe­rempuannya merupakan golongan orang kurang upaya (OKU).

Difahamkan, masalah kemiskinan serta tekanan hidup menyebabkan wanita berkenaan sering dipukul anak dan menantunya yang turut mengemis sekiranya memerlukan wang dan terputus bekalan makanan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid, selain luka dan lebam di seluruh badan, mangsa turut mengalami kece­deraan patah yang lama tetapi tidak mendapatkan rawatan.

“Mangsa pada mulanya tidak mengaku didera dan dipukul sebaliknya mendakwa hanya terjatuh dan dia juga mempunyai sejarah sa­kit mental akibat kemurungan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, dua anak wani­ta berke­naan iaitu lelaki berusia 32 tahun dan perempuan berumur 35 tahun serta menantu perempuan berumur 28 tahun sudah ditahan untuk siasatan lanjut.