Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, identiti individu-individu terbabit telah dikenal pasti pihaknya.

“Kita percaya mereka akan ditahan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini, Mustafar memaklumkan, pihaknya menemukan wang tunai seba­nyak RM1.45 juta yang disimpan di dalam peti besi sebuah hotel yang dijadikan premis aktiviti pelacuran selepas penahanan seorang suspek wanita di sebuah pangsapuri di Api-Api, semalam.

Katanya, penemuan terbaharu itu merupakan tambahan kepada wang tunai kira-kira RM13.5 juta yang dijumpai pihaknya dalam operasi membanteras pelacuran di hotel dan pangsapuri sama pada Jumaat lalu.

“Di bilik hotel yang didiami dalang berkenaan mempunyai peti besi, kita meminta dalang kes membukanya tetapi dia kata dia tidak ingat nombor kombinasi peti tersebut, jadi kita telah panggil pakar untuk membuka peti besi berkenaan.

“Setelah dibuka, kita jumpa duit dalam not RM50 dan RM100 yang mana kesemuanya ber­nilai RM1.45 juta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Dalam operasi membanteras pelacuran di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada Jumaat lalu, Jabatan Imigresen menyelamatkan 17 wanita warga Filipina manakala tiga lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun yang dipercayai menjadi dalang kegiatan tidak bermoral itu ditahan.

Semalam, seorang wanita yang merupakan isteri kepada seorang daripada dalang berkenaan serta dipercayai terlibat dengan aktiviti itu telah ditahan di pangsapuri sama yang diserbu pada Jumaat lalu.

Mustafar memberitahu, siasatan dibuat mengikut pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Akta Imigresen, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).