Video berdurasi 6 minit 28 saat yang dirakam wanita itu mendakwa dirinya diancam kumpulan remaja tersebut yang mengekorinya sehingga ke balai polis di Persiaran Alam Damai dan pihak polis tidak membantunya ketika kejadian.


Video oleh BASIR ABU BAKAR

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menafikan dakwaan wanita itu dan menjelaskan bahawa anggotanya ada menawarkan bantuan sewajarnya pada hari tersebut.

"Ketika kejadian pada pukul 11 malam mangsa yang sedang memandu di Persiaran Alam Damai telah didatangi sebuah kereta jenis BMW.

"Kereta itu dinaiki suspek telah membunyikan hon beberapa kali terhadapnya

dan menjerit ke arah mangsa," katanya dalam sidang akhbar, di sini malam tadi.

Mazlan memberitahu, mangsa yang ketakutan dan panik memandu ke arah balai polis Alam Damai untuk mendapatkan bantuan.

"Semasa mangsa sampai di depan Post Kawalan Balai Polis Alam Damai, telah berlaku salah faham yang mana mangsa merasakan dirinya tidak dibenarkan masuk ke kawasan balai oleh anggota yang bertugas.

"Sementara itu kenderaan suspek yang mengekori mangsa turut datang ke balai dan memaklumkan kepada anggota bertugas bahawa mangsa nyaris melanggar kereta mereka," ujarnya.

Bagaimanapun, ujar Mazlan, anggota yang bertugas telah menasihatkan suspek untuk beredar dan membenarkan mangsa masuk ke dalam balai.

Ujar beliau, pihaknya akan menyiasat seadilnya kejadian ini berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa di Balai Polis Cheras petang tadi.

"Kita juga telah menahan tiga suspek pada pukul 9 malam tadi di sekitar Alam Damai bagi membantu siasatan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," tambahnya. - UTUSAN ONLINE