Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, laluan yang dianggap lokasi panas ialah di Lebuh Raya Grand Saga (Cheras- Kajang), Lebuh Raya Seremban-Kuala Lumpur dan Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Seremban.

Menurutnya, untuk memastikan perjalanan trafik lancar sepanjang Op Selamat yang diadakan sehingga 12 Jun ini, seramai 150 anggota polis trafik akan ditugaskan di lokasi yang telah ditetapkan.

“Penugasan bagi penguatkuasaan keselamatan dan sekatan jalan raya telah diadakan secara berperingkat disemua lokasi terbabit terutama bila bermulanya hari raya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Op Selamat 15 sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Grand Saga Batu 11, Cheras di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Grand Saga, Chee Lean Thong dan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Daerah Hulu Langat, Shamsul Shahril Badliza Mohd. Noor.

Selain itu, Ahmad Dzaffir turut memohon orang ramai mengisi borang balik kampung supaya pihak polis dapat memantau sepanjang ketiadaan tuan rumah pada hari raya ini.

“Setakat ini 130 borang balik kampung dihantar ke balai di daerah Kajang.

“Penduduk Kajang boleh mengisi borang balik kampung menerusi sistem aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE