Video oleh AIN SAFRE BIDIN

Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Awok berkata, tingkah laku lelaki yang dikenali sebagai Rambo itu pernah ditegur penduduk kampung namun dia hanya berkelakuan biasa.

"Sejak beberapa hari lalu, lelaki itu sering dilihat membawa parang. Orang kampung ada menegurnya tetapi dia nampak biasa saja sampailah kami dikejutkan dengan kejadian ini" katanya.

Dalam kejadian pada pukul 2.00 petang itu, tiga beradik maut manakala kakak sulung dan ibu mereka parah ditetak lelaki bersenjatakan parang yang menceroboh masuk ke rumah mereka.

Lelaki dipercayai kurang siuman itu kemudiannya telah menghala ke depan Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Mohamad dan menetak dua pelajar sekolah dan seorang orang awam.

Menurut Awok, ibunya yang tinggal berhampiran rumah mangsa ada terdengar jeritan dan tangisan kanak-kanak namun tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah ternampak seorang lelaki keluar dari rumah itu bersama parang yang berlumuran darah.

Katanya, ibunya juga melihat terdapat tiga mayat bergelimpangan dimana seorang di belakang rumah dan dua lagi di bahagian tengah.

Tambahnya, ibu kanak-kanak malang itu cedera dengan kedua-dua tangan dan kakinya parah ditetak. Ketika kejadian terdapat tujuh ahli keluarga berada dalam rumah itu namun bapa bersama nenek mangsa sempat menyelamatkan diri.

"Ibu saya nampak lelaki itu memegang parang dan duduk di tepi jalan berhadapan rumah sebelum dia mengejar orang kampung yang melalui jalan tersebut. Seorang guru sekolah juga cedera ditetak lelaki itu dan dirawat di klinik berhampiran," katanya. - UTUSAN ONLINE