Suruhanjaya itu dalam ke­nya­­taannya berkata, Abdul Azeez dan abangnya itu ditahan selepas SPRM mendapat keizi­nan untuk mendakwa kedua-dua individu terbabit daripada Pejabat Peguam Negara.

“Abdul Azeez dan abangnya ditahan pada pukul 4.30 petang ketika hadir ke Ibu pejabat SPRM. Kedua-duanya akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 9 pagi esok,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataannya di sini hari ini.


Video oleh HAKIMI ISMAIL

Menurut sumber, pendakwaan esok membabitkan pelbagai kes rasuah termasuk projek Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Terdahulu Abdul Azeez dan abangnya tiba di Ibu pejabat SPRM, di sini untuk memberi keterangan pada pukul 2.55 petang dengan menaiki kereta Proton Perdana berwarna merah.

Pada 25 September tahun lalu, Abdul Azeez merangkap bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji bersama Abdul Latif telah ditahan oleh SPRM sebelum direman empat hari dan kemudiannya di sambung enam hari lagi berhubung kes menerima rasuah.

Ketika itu, Abdul Azeez yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO ditahan pada pukul 11.15 pagi selepas hadir memberi keterangan di Ibu pejabat SPRM manakala, Abdul Latif yang merupakan pengurus syarikat hartanah ditahan di Sungai Buloh, Selangor.

Abdul Azeez dan abangnya kemudian dibebaskan pada 5 Oktober lalu dengan jaminan SPRM sebanyak RM500,000 setiap seorang dengan dua penjamin dan kes itu disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001.

Pada Mei tahun lalu juga, SPRM merampas wang tunai bernilai kira-kira RM1 juta dan barang perhiasan termasuk emas di beberapa lokasi yang mempunyai kaitan dengan Abdul Azeez.

Dalam serbuan itu, sepasukan pegawai SPRM menyerbu empat lokasi termasuk dua kediaman Abdul Azeez di Sunway dan Baling, Kedah serta pejabat Tabung Haji serta Pejabat Kelab Putera 1Malaysia.