Serbuan dijalankan hasil risikan sejak dua bulan lalu oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dibantu Kontinjen Kuala Lumpur dan Selangor itu turut menemukan 19.6 kilogram (kg) heroin ‘base’, 11.8 kg heroin, 1.5 kg syabu, 4,250 pil erimin 5 dan 3,380 pil ekstaksi dianggarkan bernilai RM2.14 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, hasil siasatan awal mendapati, sindiket tersebut telah bergiat aktif mengedar dadah sejak setahun lalu di sekitar Lembah Klang.

PENOLONG Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menunjukkan antara dadah dirampas dal

PENOLONG Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menunjukkan antara dadah dirampas dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN ONLINE/ NURAINA HANIS ABD. HALIM

Menurutnya, dalam serbuan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pihaknya menahan dua lelaki berusia 30-an namun tiada dadah ditemukan.

“Tangkapan itu membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 20-an di sebuah kondominium di Wangsa Maju dan polis turut menemukan pelbagai jenis dadah yang diletakkan di tempat meletak kenderaan.

“Kita juga turut melakukan pemeriksaan dua lagi kondominium di Shah Alam iaitu Taman Perindustrian dan Seksyen 13 serta merampas 1.6 kg syabu, 13.9 kg heroin ‘base’ dan 3.3 kg heroin di dua lokasi itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi JSJN, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Ali.

Menurut Mohmad, siasatan mendapati kesemua dadah itu dibawa masuk dari negara jiran melalui negeri pantai timur dan dipercayai boleh dibekalkan kepada 950,130 pengguna.

Katanya, keempat-empat suspek kini direman tujuh hari sehingga Khamis depan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE