Sindiket yang dikenali sebagai ‘Apang’ itu dipercayai menjadikan negara ini sebagai pusat operasi mereka bagi mencari mangsa dalam kalangan pelanggan dari China.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mereka yang ditahan dalam serbuan pada pukul 10 malam, Isnin lalu itu, terdiri daripada 46 lelaki, tiga wanita warga China dan seorang lelaki tempatan.

Menurutnya, kesemua mereka yang berumur antara 19 dan 50 tahun itu bertugas sebagai operator manakala seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun berperanan sebagai juru gegas bagi sindiket berkenaan yang dipercayai telah menjalankan kegiatan itu lebih sebulan lalu.

“Hasil siasatan mendapati mereka menggunakan dua unit premis di kondominium berkenaan untuk beroperasi selain menggunakan aplikasi media sosial WeChat bagi menarik pelanggan untuk melakukan pertaruhan.

“Kami juga dapati hanya tiga daripada mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan kami juga merampas 48 unit laptop, 67 unit telefon bimbit, 17 unit tetikus, dua router dan dua unit modem,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan memberitahu, kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM100,000 dan kesemua tangkapan direman untuk siasatan lanjut oleh pihak polis.

“Lelaki warga tempatan berkenaan direman bermula 16 hingga 18 Julai, manakala kesemua tangkapan warga China direman selama 14 hari bermula 16 hingga 29 Julai bagi membantu siasatan, “ Ujarnya.

Mazlan berkata, pihaknya kini sedang giat menjejaki individu digelar Apang dan individu-individu lain yang mungkin terlibat dalam kegiatan sindiket ini.

Kes disiasat di Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Imigresen 1959/63. - UTUSAN ONLINE