Perintah reman bermula hari ini sehingga 19 Februari itu dikeluarkan Majistret Ahmad Afiq Hasan selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memboleh siasatan lanjut dilakukan.

Menurut sumber, suspek wanita berumur 39 tahun itu dipercayai meminta suapan sebanyak RM1.5 juta daripada ejen hartanah sebagai ganjaran untuk tender penjualan hartanah milik kerajaan di Hong Kong.

Katanya, suspek telah menerima sebahagian wang terbabit daripada wakil syarikat untuk meminta persetujuan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebagai dorongan untuk meluluskan tender penjualan hartanah terbabit.

“Suspek ditahan pada pukul 6.55 petang semalam di pejabatnya di Kementerian Kewangan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut sumber itu lagi, kesalahan yang dilakukan oleh Setiausaha Pejabat itu adalah pada sekitar akhir tahun lalu dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada individu lain turut dipanggil memberi keterangan selepas ini.

“Kita akan melakukan soal siasat terhadap suspek utama ini terlebih dahulu. Sekiranya ada keperluan kita akan panggil individu-individu lain yang berkaitan untuk memberi keterangan berhubung kes ini,” katanya.

Terdahulu suspek berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.05 pagi dengan memakai baju lokap SPRM dan tangan bergari.-UTUSAN ONLINE