Dalam serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 3 pagi itu, kesemua PATI menyedari kehadiran Imigresen lari lintang pukang dan cuba menyorok di bahagian bumbung serta lantai rumah untuk mengelak daripada dikesan.

Difahamkan, lokasi serbuan tersebut adalah penempatan haram yang sudah setahun dihuni oleh majoriti warga Indonesia dan disewa daripada rakyat tempatan.

Penyewa membayar antara RM150 hingga RM250 sebulan untuk menghuni kawasan berkenaan dan kebanyakan mereka bekerja di sekitar ibu negara.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, hasil serbuan tersebut, pihaknya telah menahan sebanyak 65 warga Indonesia dan lima warga Bangladesh.

“Kawasan penempatan haram ini berselindung di sebalik dua lokasi pembinaan dan kita juga sedang mengesan pemilik tanah yang menyewakan tanah tersebut kepada PATI,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Hamidi, satu lagi operasi turut dilakukan dilakukan kira-kira pukul 1.15 pagi di sebuah pangsapuri di Taman Damai Indah, di sini.

Jelasnya, pangsapuri empat tingkat itu kebanyakannya dihuni oleh warga asing dan serbanyak 63 individu telah diperiksa.

“Daripada jumlah tersebut, 29 warga Indonesia ditahan termasuk tiga kanak-kanak dan dua warga Myanmar.

“Kesemua mereka dipercayai menyewa rumah tersebut secara berkumpulan dan bekerja di sekitar ibu negara,” jelasnya.

Tambahnya, semua yang ditahan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 6 (1)(c) kerana tidak memiliki dokumen memasuki negara ini secara sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa. - UTUSAN ONLINE