Video MEDIA SOSIAL

Dalam kejadian pukul 12.20 tengah hari itu, lelaki berusia 29 tahun tersebut dikatakan cuba terjun dari jejambat bagi melarikan diri sejurus selepas kemalangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Arifai Tarawe berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek memandu kenderaannya secara berbahaya dan laju sehingga hilang kawalan sebelum merempuh tiga kereta dan sebuah motosikal di laluan sama.

“Lelaki itu telah kita tahan dan kini dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut.

“Kita juga akan menjalankan ujian saringan air kencing terhadap suspek bagi mengetahui sama ada dia di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, kejadian itu turut dirakam orang awam dan tular menerusi sebuah video berdurasi 33 saat.

Video itu menunjukkan suspek dipercayai sedang disoal siasat anggota polis sebelum cuba terjun dari jejambat untuk melarikan diri. - UTUSAN ONLINE