Tinjauan Bernama di situ mendapati pihak media juga tidak dibenarkan memasuki resort berkenaan kerana difahamkan ia atas permintaan keluarga mangsa serta faktor keselamatan.

Selepas 24 jam dilaporkan, remaja terbabit, Nora Anne Quoirin, 15, masih gagal dikesan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bukan sahaja disertai agensi penguat kuasa malah, orang kampung di kawasan sekitar juga dilihat menyertai operasi SAR hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar dilaporkan berkata mangsa yang mengalami masalah pembelajaran tiba di Resort The Dusun Pantai Hill Sabtu lepas kerana mengikuti keluarganya bercuti.

Katanya, kehilangan remaja itu telah dilaporkan oleh pemilik resort berkenaan pagi semalam selepas dimaklumkan oleh seorang ahli keluarganya mengenai kehilangan remaja tersebut yang disedari tiada di bilik penginapannya pada 8 pagi. - BERNAMA