Video Oleh NUR NAZLINA NADZARI

Serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) bermula pukul 7.30 malam hingga 10.15 malam itu turut memberkas tujuh ahli sindiket terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita terma­suk seorang warga Vietnam.

Kesemua suspek berusia antara 29 hingga 52 tahun itu ditahan di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, Taman Setia Jaya dan Lebuh Raya Karak manakala polis turut menumpaskan sebuah makmal mini yang mampu memproses sebanyak 100 biji pil dalam masa seminit di sebuah kondominium di Templar Park, Rawang.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata, dalang sindiket terbabit iaitu lelaki berusia 42 tahun ditahan di Lebuh Raya Karak bersama wanita Vietnam tersebut yang juga teman wanitanya yang positif dadah jenis syabu.

Menurutnya, kaedah penyeludupan yang digunakan sindiket tersebut menggunakan pelbagai cara termasuk penghantaran kurier dan juga melalui pelabuhan-pelabuhan haram.

“Oleh kerana pil ini kecil, mereka kadang-kadang seludup di dalam beg melalui pelabuhan sedia ada seperti di Klang, Muar dan juga pelabuhan nelayan. Harga pil ini jika berjaya diseludup ke Aceh boleh mencapai sehingga tiga kali ganda.

“Dengan serbuan ini, kami menyekat 145,000 orang daripada menggunakan dadah-dadah tersebut. Sindiket itu juga dipercayai mengedar pil ekstasi utuk pasaran tempatan,” kata­nya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dekat sini hari ini.

Sementara itu, Chez Chiang berkata, dadah yang dirampas adalah 28.1 kilogram disyaki serbuk ekstasi, 6,690 biji disyaki pil yaba dan 1.6 kilogram disyaki syabu.

Tambahnya, turut rampas wang tunai sebanyak 840,00 dong (RM140), wang tunai RM147,000, tiga buah kenderaan Toyota Camry, Ford Ranger dan Audi Q7, seutas jam tangan dan pelbagai jenis barang kemas yang menjadikan nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM563,000