Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, lelaki berusia 32 tahun dan isterinya berusia 35 tahun ditahan di sebuah rumah di Nilai dekat sini pada tengah hari, 11 Ogos lalu.

“Berikutan penahanan mereka, pihak polis percaya telah menyelesaikan sebanyak 15 kes pecah kereta di kawasan masjid dan surau iaitu melbatkan 13 kes di Nilai dan dua lagi di Seremban dan Rembau.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta Proton Wira milik suspek dan pelbagai peralatan pecah rumah serta beberapa beg tangan, komputer riba dan telefon bimbit,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hasan.

Tambah Noor Azam, kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah dan dadah ditahan reman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen

379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Dalam sidang akhbar sama, beliau berkata, polis berjaya menumpaskan kumpulan samun dan pecah rumah, Geng Rohingya selepas menahan lima lelaki baru-baru ini selain memberkas dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis semasa melakukan jenayah samun. - UTUSAN ONLINE