KUALA LUMPUR 10 Sept. – Lelaki yang didakwa merakam bawah skirt seorang wanita menggunakan telefon bimbit kelmarin ditahan polis di sebuah restoran di Publika Solaris Duta Mas, di sini hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (gambar) berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditangkap untuk diambil keterangan.
“Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).
“Kita juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan video tersebut kerana kes masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Video oleh MEDIA SOSIAL
Tambah Mazlan, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Azrizal Khairul Abd. Kadir (019-2769117) atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4042233.
Semalam, satu laporan polis dibuat mangsa yang bertugas sebagai juruoptik mendakwa suspek tersebut telah melakukan perbuatan tersebut ketika dia sedang menjalankan pemeriksaan mata terhadap Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman.
Perbuatan itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) dan turut tular di laman sosial.
Suspek juga telah dipecat daripada menjadi pegawai khas Mohd. Azis selepas timbalan menteri itu mengeluarkan satu kenyataan berhubung kes tersebut semalam yang juga telah tular di laman sosial.
Jelas Mohd. Azis, pemecatan itu dibuat serta-merta kerana tindakan itu menjejaskan imej dan kredibiliti beliau Timbalan Menteri Dalam Negeri dan pejabat Timbalan Menteri.