Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian buli pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Cherating itu berlaku pada Selasa lalu namun laporan polis hanya dibuat mangsa tiga hari berikutnya.

"Sebaik sahaja polis mendapat laporan daripada mangsa pada 10 Ogos lalu, kami menjalankan siasatan dan mengambil keterangan daripada dua suspek tersebut.

"Bagaimanapun, suspek utama yang juga rakan sekelas mangsa tidak hadir ke sekolah. Saya harap ibu bapa atau pihak sekolah tidak melindunginya dan segera membawa ke balai polis berhampiran untuk diambil keterangan," katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD), di sini hari ini.

Video berdurasi 16.56 itu yang memaparkan seorang pelajar tingkatan dua dibuli rakan sekelas termasuk dipukul dengan sebatang kayu, dihayunkan kerusi ke badannya dan bertalu-talu ditumbuk tular dalam media sosial sejak semalam.

Menurut Mohamad Noor, mangsa turut mendakwa dibuli sejak April tahun ini apabila suspek utama itu sering meminta wang darinya.

"Namun, kita masih menyiasat punca sebenar mangsa dipukul pada hari kejadian. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana memukul dengan sengaja mendatangkan kecederaan," katanya. - UTUSAN ONLINE