Dalam serbuan pada pukul 11.15 pagi itu, polis turut menahan dua individu termasuk seorang wanita warga China di lokasi terbabit.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, sepasukan polis pada awalnya menahan suspek lelaki berusia 30 tahun yang berada di dalam sebuah pacuan empat roda di tempat letak kenderaan di kondominium berkenaan.

“Hasil pemeriksaan terhadap lelaki itu, polis menjumpai sebungkus plastik hitam bersaiz kecil yang di dalamnya mempunyai empat paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki jenis syabu.

“Hasil soal siasat, polis turut menyerbu rumah suspek dan berjaya menemukan sebungkus plastik hitam besar di dalamnya mengandungi lima paket plastik besar berwarna perak dan setiap satu berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah yang sama," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Ramli menambah, selain itu, polis juga merampas beg bagasi milik suspek yang turut mengandungi 105 paket plastik lutsinar kecil pelbagai saiz dipercayai syabu untuk dipasarkan di sekitar bandaraya ini.

"Dalam beg tersebut turut mengandungi dadah jenis pil ekstasi dan ketamin," katanya. - UTUSAN ONLINE