Dalam kejadian pertama kira-kira pukul 6 pagi semalam, polis menahan sebuah lori jenis Hicom yang dinaiki dua lelaki di Kampung Baru Jeli.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, hasil pemeriksaan menemukan 173 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 1,751 kg daun ketum serta satu botol lutsinar berisi cecair perang disyaki air ketum.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki yang berusia 25 dan 35 tahun. 

"Berdasarkan siasatan awal, bekalan daun ketum berkenaan diperolehi dari Sik, Kedah dan untuk diedarkan di sekitar Pasir Mas. 

"Kes ini disiasat di bawah seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kedua-dua suspek telah dituduh di mahkamah hari ini sebelum dibebaskan dengan jaminan mahkamah RM17,000 setiap seorang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini hari ini. 

Sementara itu, Hasanuddin berkata, pada pukul 12 tengah malam tadi, seorang lelaki berusia 29 tahun di tahan di sebuah rumah di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan telah menemukan sepucuk pistol berwarna perak; sarung pistol; kelopak bertulis colt 380 Auto; tiga butir peluru; tiga bilah parang; satu helai baju hujan milik PDRM serta bungkusan plastik lutsinar disyaki berisi air ketum seberat 15 liter.

"Hasil saringan air kencing ke atas suspek yang tidak bekerja itu mendapati positif dadah jenis amphetamine.

 "Kita siasat kes ini di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kes jenayah di bawah Akta Senjata Api," katanya. 

Tambahnya,  lelaki berkenaan direman selama enam hari bermula semalam sehingga 31 Mei ini dan hukuman bagi seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM 100,000 atau kedua-duanya sekali.

"Manakala bagi seksyen 30(3) Akta Racun 1952 turut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM 10,000 atau penjara maksimum empat atau kedua-duanya sekali," katanya. - UTUSAN ONLINE