Sindiket pengedaran dadah terbongkar selepas menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC warna merah di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Dangar, Pasir Mas sehingga menemukan beberapa suspek lain dan pil kuda.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, serbuan tersebut dibuat Pasukan Tindakan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan dibantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Katanya, dalam operasi yang bermula pada pukul 3 petang itu, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 46 tahun itu ditahan dalam tujuh serbuan di sekitar Pasir Mas dan daerah ini.

“Suspek pertama itu cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan semasa proses tangkapan itu. Pemeriksaan di tubuh badannya menemui satu beg sandang warna merah bertulisan CS Holidays yang disilang di bahunya.

“Polis menemukan dua bungkusan berbalut pita kekuningan mengandungi pil-pil kemerahan dan kehijauan disyaki pil WY atau yaba atau pil kuda,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir dalam sidang akhbar ialah Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat dan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Azmi Abu Kassim.

Hasanuddin berkata, berpandukan suspek pertama, serbuan kedua dilakukan pada pukul 4 petang di sebuah rumah keluarga di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas.

“Hasil pemeriksaan menemukan satu guni plastik warna putih lambang kucing serta bertulisan Thailand di bawah rumah.

“Di dalam guni tersebut terdapat 11 bungkusan berbalut pita kekuningan mengandungi pil WY,” katanya. - UTUSAN ONLINE