Tindakan lelaki yang memandu kereta Honda City itu dikesan dalam Op Pelbagai sempena Op Selamat 13 di Plaza Tol Duta arah Selatan, di sini hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Asisten Komisioner Md. Dali Wahid berkata, kenderaan lelaki itu dikesan AES kerana memandu melebihi kelajuan ditetapkan di satu kawasan dari arah utara sebelum ditahan di lokasi operasi.

Bagaimanapun katanya, ketika ditahan, nombor pendaftaran kereta itu telah ditukar kepada yang asal dan hasil pemeriksaan menemukan nombor pendaftaran palsu disimpan dalam kenderaan tersebut.

“Kita dapati lelaki itu telah berhenti di bahu jalan dan menukar nombor pendaftaran palsu kepada yang asal sebelum memasuki plaza tol supaya dapat melepaskan diri daripada dikenakan tindakan.

“Kereta dan lelaki berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut, mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi di sini hari ini.

Menurut Md. Dali, sepanjang dua jam operasi yang dijalankan pada pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi itu, sebanyak 105 saman telah dikeluarkan kepada pesalah trafik.

“Sebanyak 27 saman telah dikeluarkan kepada pemandu bas ekspres dan lori yang dikesan memandu melebihi had laju manakala 78 saman lagi dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas kesalahan ubah suai motosikal, tiada lesen dan lesen tamat tempoh.

“Operasi pada malam ini dijalankan dengan kekuatan 10 pegawai dan 38 anggota polis termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),” ujarnya.

Md. Dali memberitahu, operasi kali ini memfokuskan kenderaan seperti bas dan lori memandangkan kebelakangan ini banyak berlaku kemalangan membabitkan bas ekspres.

“Seperti sedia maklum, dalam musim perayaan ini orang awam banyak menggunakan perkhidmatan bas ekspres dan kita banyak terima maklumat mengenai pemandu bas yang memandu laju. Oleh itu, operasi seperti ini diharap dapat mengurangkan kemalangan dan perkara yang tidak diingini,” katanya.-UTUSAN ONLINE