Abu Husin Nor Husin, 20, berkata, ejen tersebut akan membantu mereka mencari kerja khususnya dalam sektor pembersihan di Alor Setar, Kedah.

Walau bagaimanapun katanya, nasib tidak menyebelahi mereka apabila cubaan memasuki negeri ini dikesan oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

"Kami menaiki bot dari Bangladesh sejak lapan hari lalu untuk memasuki Malaysia. Sepanjang perjalanan itu, kami hanya mengisi perut dengan makan ikan yang ditangkap di kawasan laut berkenaan.

"Sepatutnya ejen akan menunggu di sini untuk mengambil kami. Mereka (ejen) akan dibayar antara RM3,000 hingga RM4,000. Bayaran itu dilakukan oleh keluarga atau saudara terdekat kami di Rohingya kepada ejen tersebut melalui pemindahan ke akaun bank mereka.

"Kami terpaksa datang ke sini (Malaysia) untuk bekerja kerana di Bangladesh atau Myanmar sukar untuk memperolehi pekerjaan," dedahnya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, seramai 41 pelarian Rohingya yang dalam keadaan keletihan, lesu serta kelaparan sekali lagi dibantu penduduk kampung setelah ditinggalkan tekong di pesisiran pantai berdekatan Kampung Belati, Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di sini.

Tambah Abu Husin, sepanjang bekerja selama tiga tahun di Alor Setar sebelum ini, dia tidak mempunyai dokumen perjalanan dan memasuki negara ini menggunakan kaedah sama.

"Mahu tidak mahu kami terpaksa datang ke negara ini untuk mencari makan. Di sini, kerja mudah diperolehi khususnya dalam sektor pembersihan," katanya.- UTUSAN ONLINE

Video oleh Mohd. Hafiz Abd. Mutalib